Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan menyifatkan penyudah tajam sebagai kunci buat Sri Pahang FC mendaki carta liga.
Pandangan ini dinyatakan beliau selepas melihat jumlah jaringan yang direkodkan pasukan itu dalam liga setakat ini. Berdasarkan statistik liga, Sri Pahang hanya menjaringkan tujuh gol.
Jumlah ini meletakkan mereka di belakang lapan pasukan lain termasuk pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC). JDT menjaringkan 28 gol selepas mengharungi lapan perlawanan.
Ini disusuli dengan Selangor FC (16 gol), Terengganu FC (13 gol), Sabah FC dan Kuching City FC (12 gol), PDRM FC dan Penang FC (sembilan gol) serta Kedah Darul Aman FC (lapan gol).
Isu kekurangan jaringan turut menyebabkan pasukan itu gagal meraih kemenangan sejak kemenangan aksi pertama pada 11 Mei lalu. Ini termasuk keputusan seri 1-1 membabitkan Terengganu dan Sri Pahang.
Razman percaya sekiranya penyudah Sri Pahang lebih tajam selepas ini, pasukan Pantai Timur itu dapat kembali mendaki carta liga dan memberi cabaran kepada empat pasukan teratas.
“Jika mereka boleh menjaringkan gol, pasti keputusan lebih baik boleh terhasil. Dan pada awal musim pun, kita anggap Sri Pahang antara pasukan yang boleh memberi cabaran dalam liga.
“Dan bila tiada pemain boleh menjaringkan gol, sudah pasti mendapatkan keputusan yang lebih baik itu akan jadi masalah,” katanya semasa menjadi panel aksi Terengganu-Sri Pahang di Astro Arena pada 16 Ogos lalu.
Sri Pahang berharap dapat mengakhiri kemarau kemenangan apabila bertemu dengan PDRM FC di Temerloh pada 15 September ini.