Pengurus Besar Perak FC, Neow Choo Seong berharap penyokong pasukan itu dapat hadir beramai-ramai untuk aksi pasukan itu menentang Sabah FC pada 19 Oktober.
The Bos Gaurus menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebagai gelanggang tuan rumah untuk baki aksi Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.
Ini disebabkan gelanggang mereka, Stadium Perak di Ipoh kini menjalani proses penaiktarafan termasuk proses penukaran rumput dari rumput lembu kepada rumput Zeon Zoysia.
Ini menjadikan aksi menentang Sabah sebagai aksi pertama Perak di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Meskipun perlu beraksi di sebelah petang, Choo Seong melihat itu bukan halangan buat penyokong Perak untuk memberi sorakan padu kepada pasukan itu.
Ini kerana sokongan padu penyokong di Manjung dapat membantu The Bos Gaurus melebarkan rekod tiga kemenangan berturut-turut pasukan itu dalam liga.
“Saya menyeru kepada semua peminat dan penyokong skuad The Bos Gaurus untuk hadir beramai- ramai ke Stadium MPM petang ini bagi memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan kita.
“Sokongan padu daripada para penyokong pastinya akan menjadi pembakar semangat kepada para pemain untuk meneruskan prestasi cemerlang selain mahu mengukuhkan kedudukan Perak FC dalam saingan Liga Super.
“Dengan kemudahan jajaran baharu yang menghubungkan bandar Seri Manjung dan tempat-tempat lain di negeri Perak, saya berharap Stadium MPM akan penuh bersama sorakan dan gegak gempita dari para penyokong skuad Yob,” katanya dalam satu kenyataan.
Kekuatan Perak dijangka semakin mantap dengan kehadiran semula Adilet Kanyebekov dan Lee Tae-min. Ini selepas kedua-dua pemain tersebut kembali cergas sepenuhnya.
Meskipun tempang tanpa khidmat Khairul Fahmi Che Mat, Park Tae-soo dan Darren Lok, Sabah dijangka memberi saingan hebat kepada Perak di Manjung.