“Perbelanjaan FAM Paling Besar Skuad Kebangsaan” – Hamidin
MakanBola
Malaysia NT

Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin mendedahkan sebab kos yang ditanggung badan induk itu untuk skuad kebangsaan cukup besar.

Ini susulan dapatan laporan audit yang dibentangkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam Kongres Luar Biasa (EGM) FAM baru-baru ini.

Hamidin memaklumkan kos perbelanjaan itu bukan saja merangkumi skuad senior lelaki kebangsaan saja. Sebaliknya, ia merangkumi semua skuad kebangsaan Malaysia baik lelaki mahupun perempuan dan meliputi pelbagai peringkat umur.

Selain itu, kos perbelanjaan juga meningkat apabila skuad kebangsaan menyertai kejohanan di luar negara. Selain kos penerbangan dan penginapan, FAM juga perlu menyediakan elaun buat pemain sepanjang tempoh berkenaan.

“Perbelanjaan FAM ini paling besar memang skuad kebangsaan. Skuad kebangsaan anda kena ingat (bukan setakat) skuad kebangsaan senior lagi, Bawah 23 Tahun (B-23), B-19 dan B-17, perbelanjaan memang cukup tinggi.

‘Futsal lelaki, futsal perempuan, bola sepak wanita, pelbagai peringkat umur itu semua skuad kebangsaan. Itu yang dimaksudkan itu, bukan anda bercakap tentang skuad kebangsaan senior. Itu memang perbelanjaan tinggi.

“Ini kerana cukup saya katakan kalau kita (contohnya) pergi Mongolia, tiket penerbangan dekat RM3,000. Belum lagi (kos) hotel penginapan dengan elaun semua. Itu sebab kos minimum pergi pun cecah RM400,000 hingga RM500,000. Perbelanjaan itu yang kita boleh tengok dengan jitu,” katanya.

Hamidin berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan pada 7 Jun lalu. Beliau turut melihat saranan-saranan AFC mampu meningkatkan kualiti pentadbiran FAM ke tahap yang lebih baik.