Percaturan Dion Cools Di Pertahanan Tengah Merugikan Bakat Pemain Tempatan
Blog
Advertisements

Pasukan Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe mendapat suntikan tambahan ketika kelayakan Piala Dunia di UAE apabila pertahanan kacukan Malaysia-Belgium, Dion Johan Cools telah bersetuju untuk mewakili Malaysia. Ini sekaligus menimbulkan perasaan teruja buat seluruh penyokong bola sepak tanah air.

Kemasukan pemain yang sangat dinamik ini ternyata memberi satu tunjang kekuatan baharu, tambahan pula, segunung pengalaman yang dimiliki oleh pemain berusia 25 tahun ini beraksi di pentas Eropah pastinya amat penting buat percaturan jurulatih pasukan negara. Pemain ini juga dilihat mampu untuk mengisi beberapa posisi termasuklah semua bahagian pertahanan bahkan beliau mampu untuk beraksi di bahagian sayap sambil mengakui, dirinya lebih gemar menyerang.

Sungguhpun begitu, jika dilihat kepada debutnya bersama skuad kebangsaan, beliau hanya beraksi pada posisi pertahanan tengah, sesuatu yang asing buat pemain ini yang lebih banyak diturunkan pada posisi pertahanan kanan. Pada aksi pertamanya, beliau dilihat sudah mampu membentuk persefahaman yang baik bersama kapten pasukan, Aidil Zafuan Abd Razak.

Advertisements

Percaturan Tan Cheng Hoe untuk meletakkan pemain FC Midtjylland ini di pertahanan tengah dilihat sukar digugat tatkala aksi cemerlang pada debut beliau bakal membuat jurulatih untuk terus memainkan beliau pada posisi itu. Hal ini sekaligus bakal menutup peluang pemain tempatan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Ketika ini, Aidil Zafuan dan Dion Cools dilihat merupakan taruhan terbaik skuad kebangsaan, namun setelah kembalinya bekas pertahanan tengah Perak, Shahrul Saad, peluang untuk merebut posisi penting itu dilihat bakal terbuka semula. Tambahan pula, usia Aidil yang bakal melangkau 36 tahun menjelang Piala Asia 2023 nanti pastinya memerlukan percaturan yang baik dilakukan oleh pengendali Malaysia itu.

Terdapat juga ramai lagi calon yang boleh mengisi posisi tersebut jika dilihat berdasarkan pemain yang sering dibawa oleh Cheng Hoe dalam skuadnya. Nama yang paling dinanti-nantikan oleh peminat tempatan ialah Dominic Tan. Beliau dilihat sebagai calon yang paling ideal untuk mengemudi jentera pertahanan negara. Dengan memiliki ketinggian, kawalan bola yang baik di udara serta ketenangan mengawal bola merupakan aset terbesar buatnya.

Advertisements

Selain itu, Cheng Hoe juga sering membawa duo Irfan Zakaria dan Adam Nor Azlin. Kedua-dua pemain ini pastinya sudah mempunyai pengalaman yang mencukupi untuk diberikan tanggungjawab menggalas peranan sebagai pertahanan utama negara. Kedua-dua pertahanan ini masih berada pada usia yang ideal untuk diberikan peranan yang lebih besar.

Namun begitu, pada musim ini, nama beberapa pertahanan muda seperti Sharul Nazeem Zulpakar yang beraksi buat pasukan Selangor dilihat cukup matang untuk diserap ke skuad kebangsaan. Selain itu, aksi pertahanan tengah Terengganu, Shahrul Nizam juga menjadi bualan hangat penonton tatkala aksi kerasnya mengekang asakan penyerang import di Liga Super melayakkan dirinya untuk menyarung jersi negara.

Oleh yang demikian, rata-rata penyokong merasakan bahawa percaturan untuk mempertaruhkan Dion Cools beraksi di pertahanan tengah dilihat bakal menutup peluang buat tempatan mendapat tempat sungguhpun kehadiran Cools memberi dimensi yang cukup penting untuk skuad kebangsaan.

Advertisements

Pasukan Kebangsaan bakal menghadapi kelayakan Piala Asia dan juga AFF Suzuki yang bakal menguji keampuhan taktikal Cheng Hoe. Dengan kemampuan Dion Cools beraksi di pelbagai posisi, adakah kita bakal melihat beliau beraksi sebagai pertahanan kanan, pemain tengah bertahan ataupun sebagai pemain sayap buat pasukan negara? Sama sama kita nantikan.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram