Advertisement
Perebutan Posisi Satu Persaingan Sihat Di Sabah
Dunia
MakanBola
Azri Haziq / MakanBola

Pasukan Sabah di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee kini memiliki sebuah skuad yang cukup mantap. Berada di tangga kelima dalam liga ketika ini, Sabah dilihat sebagai pasukan tumpuan dalam kancah Liga Super Malaysia.

Selepas menewaskan pasukan Sri Pahang 4-0 di Stadium Likas tempoh hari, Sabah kini telah mengumpul sebanyak 33 mata selepas 17 aksi, hanya satu mata di belakang pasukan Kedah yang berada di kedudukan ketiga dalam carta Liga Super 2023.

Penjaga gol Sabah, Damien Lim akui Sabah kini berada dalam prestasi terbaik mencipta momentum kemenangan. Penjaga gol berusia 26 tahun ini menganggap perebutan posisi di kem Sabah ketika ini sebagai satu persaingan sihat dan amat bagus untuk pasukan.

Beliau turut merasakan satu pengalaman berharga dapat bersama dalam skuad yang memiliki penjaga gol berpengalaman seperti Khairul Fahmi Che Mat.

“Bagi saya, cleansheet ini (aksi bertemu Sri Pahang) untuk Baddrol, last game dia dan kita berjaya menang. Tapi secara keseluruhannya kita sebagai satu pasukan Sabah, kita bermain dengan begitu bagus, ikut taktikal jurulatih dan ia membuahkan hasil.”

“Ya satu persaingan sihat. Daripada saya secara peribadi ia adalah satu keistimewaan dapat bersaingan secara sihat bersama Apek (Khairul Fahmi). Beliau seorang penjaga gol yang berpengalaman dalam kancah bola sepak Malaysia. Adalah satu perkara yang bagus dan positif,” ujar Damien ketika ditemu bual MakanBola.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Sabah, Ong Kim Swee optimis buat anak buahnya meraih kemenangan untuk aksi setersunya. Beliau merasakan skuadnya perlu kekal konsisten dan beraksi dengan lebih baik di tempat lawan.

“Ini satu pencapaian bukan sahaja kita meraih tiga mata, tetapi kita tidak dibolosi. Kita harus kekaklkan konsistensi dan semua pemain menjalankan tugas dengan cukup baik.”

“Kita tahu pasukan Selangor menunjukkan pencapaian, namun kita juga mempunyai kekuatan seimbang. Kita harus perbaiki keputusan di tempat lawan. Saya percaya di tempat lawan, kita harus beraksi dengan lebih baik,” ujar Ong Kim Swee ketika sidang media selepas perlawanan.

Pasukan Sabah akan terbang ke Lembah Klang, berdepan pasukan Selangor pada Ahad, 23 Julai 2023. Aksi tumpuan Liga Super LS18 itu dijadualkan berlangsung di Stadium MBPJ, tepat jam 9 Malam.