Selepas Safawi Rasid melengkapkan perpindahan pinjamannya ke kelab Thai League 1, Ratchaburi, antara yang mengikuti perkembangannya ialah jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon. Dan selepas mengadakan lawatan ke Thailand baru-baru ini, beliau amat lega dengan perkembangan Safawi di sana.
Bekas penyerang Terengganu itu berpindah secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Ratchaburi bagi mendapatkan lebih banyak minit permainan. Dan percaturan tersebut kelihatan memberi kesan baik kepada Safawi – satu fakta yang disedari Pan-gon semasa melawat kelab berkenaan.
“Seronok melihat Safawi beraksi selama 90 minit. Sudah lama saya tak melihat Safawi beraksi 90 minit. Tipikal untuknya, beraksi dengan baik dan bekerja keras sebelum insiden kad merah (Jirawat Thongsaengphrao dilayangkan kad merah) dan itu memaksanya turun bertahan.
“Mereka hampir seri, mereka berlawan bersungguh-sungguh sebelum tewas dengan cara yang paling sukar. Ia satu persekitaran yang sukar untuknya (Safawi), persekitaran yang bertaraf tinggi sama seperti JDT.
“Mereka mempunyai perkhidmatan yang baik dan kemudahan yang terbaik. Ia amat mencabar dengan corak permainan pantasdan kekuatan fizikal yang kuat.
“Jadi, ia sesuatu yang baik untuk dirinya dan harapnya itu dapat menjadikan dia pemain yang lebih baik dalam situasi sebegitu,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Wisma FAM hari ini.
Pan-gon pastinya mahu pengalaman yang ditimba Safawi di Thailand dapat membantu skuad kebangsaan dalam perlawanan-perlawanan antarabangsa termasuk Piala Asia 2023.