Persaingan antara dua penjaga gol utama Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berlangsung semakin rancak.
Peranan utama musim ini digalas oleh penjaga gol negara, Syihan Hazmi yang diberi kepercayaan dalam kebanyakan perlawanan.
Pemain berusia 28 tahun itu beraksi dengan cukup cemerlang apabila diturunkan dalam 21 perlawanan Liga Super 2023.
Syihan beraksi dengan cukup baik dan hanya dibolosi 7 gol setakat ini.
Namun begitu, kemunculan semula penjaga gawang berpengalaman pasukan, Farizal Marlias setelah diberi ruang oleh ketua jurulatih, Tano Solari menghidupkan semula persaingan pada posisi tersebut.
Pemain berusia 37 tahun itu beraksi dengan cukup tenang untuk memastikan kemenangan 4-1 menjadi milik JDT berdepan Negeri Sembilan untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2023.
Farizal sudah pun beraksi dua perlawanan Piala FA dan dua di Piala Malaysia musim ini.
Pengalaman beliau sudah pasti mampu memberi nilai tambah kepada pasukan terutamanya bagi mengharungi kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini.
JDT akan berdepan PDRM bagi aksi penentuan kejuaraan Liga Super 2023 buat kali ke-10 berturut-turut sebelum ke BG Pathum untuk aksi kedua ACL.