Advertisements
Pertahanan Sweden Beri Khabar Gembira Buat Perak
Piala Malaysia
MakanBola
Perak FC

Perak FC mendapat suntikan moral menjelang aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia malam ini apabila Jesper Nyholm disahkan kembali cergas.

Sebelum ini, Nyholm tidak dapat diturunkan dalam beberapa perlawanan termasuk perlawanan menentang Sri Pahang FC pada minggu lepas akibat kecederaan.

Dan semalam, penolong jurulatih The Bos Gaurus, Shahrulnizam Mustapa mendedahkan bek tengah Sweden itu sudah pulih dan kembali menjalani latihan.

Kehadiran semula Nyholm di bahagian pertahanan bakal menjanjikan tentangan sengit Perak FC terhadap lawan mereka, Kedah Darul Aman (KDA) FC.

“Bila tengok dua sesi latihan terakhir, dia (Nyholm) dah join team. Dan kita sekarang ini tengah tunggu green light dari medical department. Kita harap dia sempat pulih dan dapat diturunkan untuk perlawanan malam esok Insya Allah,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan di Astro Arena semalam.

Perkara ini turut disahkan oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi. Selain Nyholm, Sunday Afolabi juga bakal diturunkan selepas terpaksa direhatkan sebelum ini akibat kecederaan.

Selain duo import ini, The Bos Gaurus juga kembali mendapat sentuhan jurulatih interim, Yusri Che Lah setelah pulih daripada masalah kesihatan yang dialaminya.

Perak FC akan turun menentang KDA FC untuk aksi pertama Piala Malaysia malam ini sebelum disusuli aksi kedua pada 18 Ogos. Sekiranya berjaya mengatasi Sang Kenari, skuad Seladang akan mara ke peringkat suku akhir.