Jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali teruja untuk turun dalam pertarungan terbesar dalam hidup beliau.
Saingan ONE 170 pada Jumaat bakal menjadi tumpuan ramai apabila menyaksikan Johan Ghazali atau lebih mesra disapa Jojo akan turun berdepan jaguh Colombia, Johan Estupinan.
Pertemuan yang dinantikan ramai ini membuatkan Jojo lebih bersedia dengan corak serangan dan strategi terbaik dalam usaha menyekat Estupinan di Bangkok itu nanti.
“Kita ada strategi kita dan pelan permainan. Jadi, macam mana pun, kita bersedia dan buat apa yang kita boleh buat. Insya Allah, kemenangan di tangan Jojo,” komennya kepada Astro Arena.
Menurut Jojo, aksi menentang Estupinan ini turut dilihat sebagai satu pertempuran terbesar dalam hidup beliau sepanjang terbabit dalam sukan tempur yang digilai ramai ini.
”Di puncak dunia, melakukan apa yang saya cintai, kurang dari 24 jam lagi untuk pertarungan terbesar dalam hidup saya,” kata Jojo menerusi satu hantaran di Instagram.
Jojo dan Estupinan bakal berentap pada 24 Januari ini di Impact Arena, Bangkok, Thailand.