Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menitipkan pesanan penting buat bintang muda baharu pasukan itu, Daniesh Amirruddin.
Selepas melihat pemain sayap berusia 20 tahun itu membuat dua penampilan berturut-turut, bekas jurulatih Watford itu berharap Daniesh dapat kekal konsisten dan terus bekerja keras.
Munoz melihat dua perkara itu sebagai kunci buat anak jati Merlimau, Melaka itu untuk terus merebut tempat dalam kesebelasan utama Harimau Selatan.
“Buat para pemain muda, mereka kena faham. Ini bukan satu hari, dua hari atau tiga hari,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Mereka kena konsisten dalam setiap perkara yang dilakukan setiap hari untuk dapatkan peluang seperti ini (beraksi dalam kesebelasan utama).”
Daniesh mula mencuri perhatian apabila meledakkan dua gol buat Harimau Selatan dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA menentang UM Damansara baru-baru ini.
Beliau juga menjadi sebahagian daripada skuad Johor yang meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dalam acara bola sepak.