Arena sukan negara dikejutkan dengan berita seorang pesilat Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu meninggal dunia selepas terkena sepakan lawan.
Buletin TV3 melaporkan Allahyarham Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 21, rebah dan tidak sedarkan selepas terkena tendangan lawan.
Insiden ini berlaku dalam satu pertandingan yang diadakan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, Seremban, Negeri Sembilan.
Wan Muhammad Haikal kemudiannya disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 pagi tadi semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).
Kakak sulung Allahyarham, Wan Nor Haslinda menyatakan pihak keluarga diberitahu mengenai kejadian tersebut pada jam 5.30 petang semalam.
“Jurulatih hubungi bapa dan maklumkan yang arwah terpaksa dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pihak lawan.
“Tapi saya tidak tahu lebih lanjut bagaimana kejadian itu berlaku dan kira-kira 2.30 pagi, kami dimaklumkan yang dia sudah meninggal dunia. Waktu tepatnya saya tak pasti,” katanya bila dihubungi media hari ini.
Ibu bapa dan adik Allahyarham kini berada di hospital untuk menunggu bedah siasat selesai dan urusan menuntut jenazah.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Seremban memaklumkan mangsa dikatakan sudah tidak sedarkan diri selama 20 minit di lokasi dan telah diberikan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
“Sebaik kami tiba, pasukan mengambil alih pesakit dan serta merta terus mengaktifkan AED serta alat bantuan pernafasan BVM dan oksigen kepada pesakit itu.
“Selepas memberi satu renjatan melalui AED pesakit terus di bawa ke HTJ untuk rawatan susulan dan pada masa sama CPR masih lagi diteruskan sehingga tiba di hospital.
“Bagaimanapun, kami dimaklumkan pesakit meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTJ awal pagi tadi,” katanya.
Sebaik berita ini diketahui, ramai pihak mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa termasuk Majlis Sukan Negeri Terengganu.