Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski seolah-olah memberi petanda baharu berkenaan penyerang JDT, Bergson Da Silva dan Malaysia.
Tonggak berusia 35 tahun itu menjadi duri dalam daging buat Selangor FC selepas jaringannya memastikan kemenangan 2-0 di Stadium MBPJ, pada Ahad.
Beliau kini menjadi pendahulu carta penjaring terbanyak Liga Super Malaysia 2025-26 dengan 13 jaringan sungguhpun berehat seketika akibat kecederaan.
Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski seakan-akan memberi petanda berhubung status Bergson bersama pasukan kebangsaan.
Hal ini selepas beliau mengulang semula hantaran Astro Arena yang menemu bual tonggak kelahiran Brazil itu selepas kemenangan ke atas Gergasi Merah Kuning.
Jurulatih kelahiran Australia itu juga meninggalkan emoji bendera Malaysia pada ruangan komen sekali gus mencetus spekulasi kaitan Bergson menyarung jersi pasukan kebangsaan.
Bergson menunjukkan rasa cintanya terhadap Malaysia selepas mempamerkan kebolehan bertutur dalam bahasa Melayu termasuklah berkongsi pengalaman menjamu selera juadah tempatan seperti nasi goreng dan nasi lemak.

Sebagai rekod, penyerang versatil ini sudah berada di Malaysia sejak 2021 dan 2026 menjadi tahun kelimanya beraksi di Malaysia yang membolehkan beliau dinaturalisasikan.