Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski cukup teruja memiliki khidmat Facundo Garces dalam skuad kali ini.
Bek tengah kelab La Liga, Alaves itu sah menjadi pemain Malaysia terbaru berpangkalan di luar negara menyertai Harimau Malaya.
Ini menjadikan Garces pemain terbaru yang menyertai kem selepas Gabriel Palmero dan Hector Hevel. Kedua-dua pemain itu menyertai kem Harimau Malaya pada Mac lalu.
Sebaik Garces sah diumumkan menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan, jurulatih Australia itu teruja dengan kualiti yang dimiliki beliau.
Antara ciri yang dilihat menarik perhatian Cklamovski ialah tenang ketika bertahan dan memiliki pengalaman tinggi pada usia 24 tahun.
“Facundo mempunyai perwatakan yang kuat. Seorang pertahanan yang tenang dengan personaliti yang hebat serta pengalaman di peringkat tertinggi.
“Dia sangat bersemangat untuk mewakili Malaysia dan berbangga dalam mengharumkan nama negaranya,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain Alaves, Garces pernah beraksi untuk kelab Argentina, Colon. Beliau kemudiannya menyertai kelab Sepanyol itu pada Januari 2025.
Pengalaman pemain berdarah Argentina itu dijangka ditagih menjelang aksi menentang Vietnam pada 10 Jun ini.