Advertisement
Piala AFF: Liridon Krasniqi Tiada Dalam Perancangan, De Paula Terselamat
Asia Tenggara
MakanBola
FAM

Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi dikhabarkan tidak akan dibawa ke saingan Piala AFF di Singapura yang dilangsungkan bulan depan.

Dua orang lagi pemain naturalisasi negara Mohamadou Sumareh dan Guilherme de Paula bakal dibawa ke saingan bola sepak asia tenggara itu.

Berita itu disampaikan oleh pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi selepas beliau mengadakan perbincangan bersama jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe baru-baru ini mengenai senarai panggilan pemain untuk Piala AFF itu.

Sebab utama Liridon tidak dibawa adalah disebabkan kurangnya perlawanan yang dilalui dan khuatir dengan kecergasan pemain tersebut.

“Saya boleh katakan setakat ini perbincangan dengan ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, Liridon tidak berada dalam senarai untuk dibawa ke kejohanan Piala AFF 2020 nanti.

“Kita melihat Liridon tidak beraksi banyak perlawanan, jadi kita tidak mahu masalah yang berlaku di Emiriah Arab Bersatu (Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023) sebelum ini berlaku iaitu dari segi kecergasan,” katanya kepada Arena Metro.

Liridon yang kini berusia 29 tahun merupakan pemain naturalisasi kedua negara selepas Mohamadou Sumareh. Beliau bakal beraksi di Liga Super India bersama pasukan Odisha FC dengan status pinjaman dari pasukan Johor Darul Ta’zim FC.