Sabah FC memanfaatkan peluang beraksi di Stadium Likas untuk aksi suku akhir pertama MFL Challenge Cup apabila menewaskan PDRM FC.
Selepas tersingkir dari Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dilihat peluang terbaik Sabah meraih trofi musim ini. PDRM turut memiliki misi sama kerana pernah bergelar juara pada 2023.
Jurulatih interim Sang Badak, Alto Linus menurunkan dua tonggak baharu pasukan itu, Duje Ljubic dan Chris Marlon Ondong Mba. Bekas kapten Sabah, Park Tae-su mengetuai cabaran The Cops.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari jaringan awal di Stadium Likas.
Sabah berusaha mendapatkan gol menerusi gandingan Darren Lok, Fergus Tierney, Miguel Cifuentes dan Ondong Mba.
Hal ini memaksa barisan pertahanan PDRM diketuai penjaga gol, Nor Hakeem Hamidun bekerja keras menafikan setiap percubaan tuan rumah.
Percubaan terbaik Sabah hadir menerusi Tierney. Malangnya, tandukan bekas penyerang Nakhonpathom United itu hanya melepasi palang gol.
Kesukaran kedua-dua pasukan mendapatkan gol menyaksikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Sabah terus meningkatkan tekanan untuk mendapatkan gol. Penantian mereka berakhir pada minit ke-54.
Percubaan lencong bek kanan New Zealand, Dane Ingham dari luar kotak penalti memerangkap Nor Hakeem untuk meletakkan Sabah di hadapan.
Empat minit kemudian, giliran Tierney menggandakan kelebihan tuan rumah. Ini gol keenam beliau bersama Sang Badak musim ini.
Sabah berpeluang menambah gol ketiga apabila dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-72. Malangnya, penalti Darren Lok berjaya diselamatkan Nor Hakeem.
Sabah berusaha mencari jaringan tambahan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini bermakna Sabah membawa bekalan dua gol untuk aksi timbal balik di Stadium Selayang.