Legenda Sepanyol, Iker Casillas mengkritik pendekatan England selepas tewas kepada Argentina dalam aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 apabila menyifatkan taktikal The Three Lions sebagai satu pendekatan yang pengecut.
England terlebih dahulu membuka tirai jaringan dalam perlawanan tersebut sebelum memilih untuk bermain lebih bertahan bagi mempertahankan kelebihan yang dimiliki.
Namun, tindakan itu mengundang kritikan Casillas yang berpendapat England terlalu berundur sehingga memberi ruang buat Argentina menguasai permainan.
“England menjaringkan gol dan kemudian duduk bertahan. Itu satu pendekatan yang pengecut,” tulis Iker Casillas menerusi laman X miliknya.
“Mereka tidak meninggalkan kawasan sendiri dan membenarkan Argentina datang menyerang lebih banyak. Keputusan yang logik akhirnya berlaku,” tambah bekas penjaga gol Real Madrid itu.
Argentina kemudian berjaya memanfaatkan tekanan berterusan dengan menjaringkan dua gol pada penghujung permainan untuk bangkit menyingkirkan England serta mara ke pentas final Piala Dunia 2026.
Kekalahan tersebut sekali lagi menangguhkan penantian England untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua selepas kejayaan mereka pada edisi 1966.