Malaysia membuka kempen Piala Dunia Hoki 2026 dengan langkah kiri apabila tewas kepada pasukan yang menduduki ranking kelima dunia, Jerman.
Meskipun berada dalam Kumpulan B yang dilabel Kumpulan Maut, anak buah Brendan Carolan tetap berusaha untuk mencipta kejutan ke atas juara dunia itu.
Azrai Azad Abu Kamal diberi tugas mengetuai jentera serangan The Speedy Tigers. Penyerang veteran, Christopher Ruhr menjadi sandaran Jerman untuk merobek gawang Malaysia.
Jerman tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi dua gol yang dijaringkan Jakob Brilla dan Ruhr. Justus Weigand kemudiannya merobek gawang Zaimi Mat Deris pada minit kelapan.
Malaysia berusaha mencari peluang untuk melancarkan serangan ke arah kubu Jerman. Malangnya, serangan bertali arus juara bertahan itu memaksa kem negara bertahan.
Kerja keras barisan pertahanan Malaysia memastikan keputusan 3-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, giliran The Speedy Tigers mencari ruang untuk mengurangkan defisit gol. Hasilnya, Azrai Azad menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-40.
Tatkala Malaysia berusaha mencari gol kedua, Jerman memulihkan kelebihan tiga gol mereka menerusi Justus Warweg pada minit ke-45.
Paul-Philipp Kaufmann menambah derita Malaysia dengan menyumbat gol kelima pada minit ke-53. Keputusan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Jerman memimpin Kumpulan B dengan tiga mata. Kedudukan ini dijangka berubah apabila Belgium dan Perancis bertemu dalam satu lagi perlawanan.
Selepas ini, anak buah Carolan akan bertemu satu lagi pasukan handalan yang berstatus pasukan kesembilan dunia, Perancis. Kedua-dua pasukan akan berentap pada 17 Ogos ini.