Ramai peminat hoki Malaysia kecewa kerana tiada satu pun penyiar tempatan yang akan menyiarkan saingan Piala Dunia Hoki 2026.
Fakta itu dikongsikan seorang pengguna X bernama Irfan_newboys baru-baru ini. “Tahun ini tiada siaran langsung dari mana-mana siaran tempatan baik RTM mahupun Astro.
“Kepada rakyat Malaysia yang nak menonton, boleh pasang dan bayar aplikasi Watch Hockey,” katanya.
Irfan kemudiannya mengakui ketiadaan siaran Piala Dunia Hoki sebagai satu kerugian buat peminat sukan negara. “Sayang tahun ini tiada langsung siaran tempatan siarkan Piala Dunia Hoki FIH 2026.
“Walaupun ada Malaysia. Nak buat macam mana kita bukan bola sepak,” tambahnya lagi. Seorang pengguna X bernama Bro Kai turut bersetuju dengan pandangan itu dengan komen ini, “(Hoki) bukan sukan popular.”
Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama tiga kuasa hebat dunia hoki, Jerman, Belgium dan Perancis. Anak buah Brendan Carolan akan membuka kempen kumpulan menentang Jerman pada Sabtu.
Piala Dunia Hoki 2026 juga dilihat menjadi medan terakhir buat pemain veteran, Faizal Saari. Faizal sudah menyatakan ini Piala Dunia terakhir beliau bersama The Speedy Tigers.