Piala Dunia Kelab: Real Madrid Tewaskan RB Salzburg
MakanBola
Real Madrid CF

Real Madrid mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab apabila menewaskan RB Salzburg dalam aksi terakhir Kumpulan H.

Kedua-dua pasukan perlu menang dalam aksi terakhir kumpulan bukan saja untuk layak ke pusingan seterusnya. Malah, ini memastikan mereka tidak dipintas wakil Arab Saudi, Al-Hilal.

Edmund Baidoo mengetuai jentera serangan Salzburg. Gonzalo Garcia dan Vinicius Jr menjadi sandaran gol pengendali Los Blancos, Xabi Alonso.

Separuh masa pertama menyaksikan Salzburg berdepan kesukaran menembusi pertahanan Real Madrid.

Ini disebabkan Alonso memilih formasi 3-5-2 untuk melindungi bahagian pertahanan pasukan itu. Ini termasuk memilih Trent Alexander-Arnold dan Fran Garcia sebagai bek sayap.

Vinicius hampir meletakkan Los Blancos di hadapan pada minit ke-20. Malangnya, percubaan bintang Brazil itu disekat penjaga gol Salzburg berusia 18 tahun, Christian Zawieschitzky.

Vinicius menebus kehampaannya dengan meletakkan Real Madrid di hadapan pada minit ke-40. Beliau melepaskan rembatan deras yang menewaskan Zawieschitzky.

Gawang Salzburg bocor lagi tiga minit selepas itu. Kali ini, giliran Federico Valverde mencetak nama sebagai penjaring.

Salzburg berusaha merapatkan jurang gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, pengendali Salzburg, Thomas Letsch membuat dua pertukaran pemain. Beliau memasukkan Maurits Kjaergaard dan Adam Daghim.

Daghim hampir merapatkan jurang gol pada minit ke-50. Walau bagaimanapun, percubaannya pantas dinafikan bekas penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois.

Alonso kemudiannya memasukkan Ramon Jacobo sebagai pengganti Antonio Rudiger pada minit ke-66. Ini selepas orang besi Jerman itu tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan.

Garcia menambah derita wakil Austria itu dengan meledakkan gol ketiga pada minit ke-84. Ini gol kedua beliau dalam Piala Dunia Kelab.

Salzburg terus berusaha memburu gol tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini sudah cukup untuk membawa Real Madrid ke pusingan 16 sebagai juara Kumpulan H.

Los Blancos diiringi Al-Hilal selaku naib juara kumpulan. Al-Hilal mara selepas menewaskan wakil Mexico, Pachuca dalam satu lagi aksi kumpulan.

Sofascore memilih Vinicius sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.2. Beliau mengatasi cabaran Garcia yang meraih 7.8 mata.

Real Madrid akan menentang Juventus dalam aksi pusingan 16 terbaik pada 1 Julai ini.