Piala FA: Aksi DPMM vs KL City Rekod Kehadiran Tertinggi Suku Akhir Pertama
MakanBola
DPMM FC

Aksi DPMM FC menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) merekodkan kehadiran tertinggi untuk perlawanan suku akhir pertama Piala FA.

3,873 orang menyaksikan kedua-dua pasukan bertarung sengit sebelum terikat 3-3 di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah. DPMM menyumbat gol menerusi Jordan Murray, Farris Izdiham Awang Kechik dan Miguel Oliveira.

KL City pula membalas menerusi penalti penyerang kebangsaan, Paulo Josue dan gol Baqiuddin Shamsudin dan Fareed Sadat.

Aksi Penang FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pula menyaksikan 2,083 orang hadir di Stadium Bandaraya. Aksi itu menyaksikan sembilan gol dijaringkan.

JDT meraih tujuh gol menerusi Bergson da Silva, Brad Tapp, Marcos Guilherme, Stoichkov, Shahab Zahedi dan Arif Aiman Hanapi. Penang merobek gawang pelawat sebanyak dua kali menerusi Enzo Celestine dan Khala’if Naskam.

1,665 orang penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) menjadi saksi Kelantan City FC mengikat naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kuching City FC tanpa jaringan.

Aksi ini turut menyaksikan Nazri Muhamad dan Jerome Mpacko Etame masing-masing dilayangkan kad merah oleh pengadil, Zamzaidi Katimin.

1,413 orang hadir di Stadium Tuanku Syed Putra untuk melihat Selangor FC menewaskan Star City FC 4-1. Hatrik Chrigor Moraes membantu Selangor memiliki kelebihan tiga gol.

Aksi suku akhir kedua bakal berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober ini.