Dua perlawanan epik dan sengit bakal disajikan dalam pertembungan suku akhir pertama Piala FA pada Jumaat di utara tanah air dan Pantai Timur.
Di Pulau Pinang, bakal berlangsungnya derbi utara yang melibatkan Penang FC dan Kedah Darul Aman buat kali kedua bagi musim ini setelah bertemu dalam aksi Liga Super minggu lalu.
Dalam aksi tersebut, jaringan tunggal lewat dari Ebenezer Assifuah memastikan Kedah pulang dengan tiga mata sekaligus memberikan Penang kekalahan pertama untuk musim 2024/2025.
Kini, kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan sekali lagi di venue yang sama dalam misi membawa bekalan selesa ke perlawanan kedua dengan pengendali Penang, Akmal Rizal bakal membawa masuk pemain baharu.
“Ada beberapa perubahan yang akan saya lakukan. Akan ada pemain baru yang dibawa masuk dan akan ada perubahan posisi pemain dalam padang (atau) formasi,” kata Akmal Rizal kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Sementara di Gong Badak, Terengganu bakal melayani Sabah dalam aksi suku akhir pertama ini setelah kedua-dua pasukan mencatatkan kemenangan di perlawanan pusingan pertama ke atas Perak dan KL Rovers.
Terengganu dan Sabah kini masing-masing dihimpit masalah yang sama apabila dilaporkan beberapa pemain utama terpaksa disisihkan bagi aksi pertama ini.
Menurut Datuk Ong Kim Swee, empat pemain utama iaitu Darren Lok, Miguel Cifuentes, Gary Steven Robbat dan Gabriel Peres tidak dibawa ke Terengganu disebabkan oleh kecederaan tang dialami sebelum ini.
“Empat pemain tersebut masih lagi belum pulih selepas berdepan kecederaan dan kemungkinan besar memang tidak akan bersama pasukan ke Terengganu,” ujar beliau kepada Malaysian Football League (MFL).
Manakala Terengganu pula tempang dengan perkhabaran duka mengenai penularan penyakit Covid-19 dalam pasukan yang telah disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas.
Aksi suku akhir pertama bakal berlangsung 28 dan 29 Jun sementara perlawanan timbal balik dijadualkan pada 6 dan 7 Julai hadapan.