Aksi Piala FA musim 2024/25 mencuri tumpuan apabila keputusan undian telah pun diumumkan.
Majlis undian pusingan 16 terbaik yang dijalankan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyaksikan beberapa keputusan undian menarik perhatian peminat bola sepak tanah air.
Undian yang diketuai oleh dua lagenda bola sepak negara itu menyaksikan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berdepan cabaran Kelantan Darul Naim FC.
Kedah Darul Aman FC pula berdepan cabaran pasukan Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun FC sementara naib juara Piala FA, KL City FC akan menentang Kuching City FC.
Selangor akan melayan kunjungan Negeri Sembilan manakala Terengganu bakal menentang Perak FC setelah pertemuan Liga Super 2024/25 memihak kepada skuad Peteh dengan keputusan 3-1.
Sri Pahang akan menghadapi tentangan Penang FC dengan PDRM akan menghadapi cabaran satu lagi wakil Liga A1 Semi Pro, Malaysian University.
Sabah FC di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee dilihat menghadapi satu laluan mudah apabila dijadualkan bertemu KL Rovers.
Aksi pusingan 16 terbaik Piala FA bakal berlangsung dengan satu perlawanan sahaja pada 13-15 Jun 2024 manakala peringkat suku akhir dan separuh akhir bakal dijalankan secara timbal balik.
Musim lalu menyaksikan JDT telah dinobatkan sebagai juara Piala FA setelah menundukkan KL City dengan keputusan 2-0 hasil jaringan jarak jauh Hong Wan dan juga ledakan berbisa Leandro Velazquez.