Piala FA: JDT Selangkah Ke Separuh Akhir, Bergaya Kalahkan Penang
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa bekalan selesa untuk aksi timbal balik Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) apabila membelasah Penang FC dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Bandaraya.

JDT berharap dapat bangkit selepas diikat Buriram United dalam aksi pertama Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE). Penang pula berharap dapat menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mendapatkan bekalan untuk aksi timbal balik.

Rui Nene mengemudi jentera tengah JDT bersama Nacho Mendez. Bekas penyerang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), Enzo Celestine mengetuai jentera serangan Penang.

Separuh masa pertama menyaksikan jentera serangan JDT diketuai Bergson da Silva, Manuel Hidalgo dan Arif Aiman Hanapi sentiasa mencari ruang untuk menjaringkan gol.

Pelawat membuka tirai jaringan menerusi Bergson pada minit ke-16. Penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super itu tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol tuan rumah, Nor Hakeem Hamidun.

JDT menggandakan kelebihan mereka beberapa minit sebelum rehat separuh masa menerusi pemain warisan baharu Malaysia, Brad Tapp. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Penang menceriakan penyokong di Stadium Bandaraya dengan gol pada minit ke-46. Celestine menanduk hantaran jauh Haqimi Azim Rosli yang menewaskan penjaga gol pelawat, Christian Abad.

Marcos Guilherme memulihkan kembali kelebihan dua gol JDT pada minit ke-54. Pemain gantian, Stoichkov menyumbat gol keempat pelawat sembilan minit selepas itu.

Shahab Zahedi dan Tapp masing-masing menambah derita tuan rumah menerusi gol pada minit ke-68 dan 70. Penang kemudiannya memasukkan Ashriq Izzat Mazlan menggantikan Nor Hakeem yang tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan.

Arif Aiman melengkapkan aksi cemerlang JDT dengan meledakkan gol ketujuh pada minit akhir perlawanan. Pemain gantian, Khala’if Naskam mengurangkan defisit gol dengan gol pada minit akhir.

JDT terus berusaha mencari jaringan tambahan tetapi keputusan 7-2 kekal sehingga tamat perlawanan. JDT hanya perlu mempertahankan kelebihan mereka bila berdepan Penang dalam aksi timbal balik di SSI pada 9 Oktober ini.