Status Terbaru Bergson & Brad Tapp Curi Perhatian Media UK
MakanBola
FA Malaysia

Berita status dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan Brad Tapp sah bergelar pemain Harimau Malaya menarik perhatian wartawan sukan terkenal dari United Kingdom (UK), Ben Jacobs.

Jacobs dilihat memuat naik status yang menyatakan kedua-dua pemain telah mendapat lampu hijau daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.

“FIFA telah memberi kelulusan kepada dua pemain JDT, Bergson da Silva dan Brad Tapp untuk mewakili Malaysia,” katanya di X.

Sebaik status tersebut dimuat naik, sesetengah peminat bola sepak terkejut melihat status berkenaan. Salah seorang daripadanya ialah seorang pengguna X bernama SneakyCoffee menerusi status ini, “Biar betul Ben Jacobs kongsi kemas kini pasal Malaysia?”

Seorang lagi pengguna X bernama Oliver Klozoff pula tidak menyangka Jacobs membuat liputan berita tentang bola sepak negara. “Ben Jacobs buat liputan berita bola sepak Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Bergson dan Tapp sudah mendapat kebenaran untuk mewakili Harimau Malaya. Berita ini dijangka menambah pilihan buat jurulatih interim Malaysia, Tan Cheng Hoe.

FAM turut memaklumkan badan induk itu menunggu keputusan rasmi FIFA berhubung status dua lagi pemain JDT, Manuel Hidalgo dan Shane Lowry.