Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain mengakui pasukannya perlu menewaskan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) jika inginkan tiket final Piala FA 2024.
JDT memiliki kelebihan agregat 2-1 ke atas Kedah selepas meraih kemenangan di Stadium Darul Aman pada 19 Julai lalu.
Oscar Arribas dan Romel Morales mencipta nama sebagai penjaring Harimau Selatan. Sementara Habib Haroon menyumbat satu gol buat Sang Kenari.
Nafuzi mengakui anak buahnya perlu melakar kejutan ke atas JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) jika ingin mara ke final. Tugas ini bukan mudah lebih-lebih lagi dengan pasukan itu tempang tanpa empat tonggak utama.
Pada masa sama, Nafuzi melihat misi ini bukan sesuatu yang mustahil dan berharap dapat direalisasikan apabila kedua-dua pasukan bersemuka nanti.
“Hanya kemenangan yang melayakkan kita ke final. Tak kiralah, yang penting Kedah perlu menjaringkan gol walau macam mana sekalipun. Kita harus berusaha untuk menjaringkan gol untuk mencari kemenangan.
“Dan kita tahu bermain di JDT ini bukan satu benda yang senang, mudah dan teramat sukar. Jadi, apa pun untuk separuh akhir, kena bagi yang terbaik,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi untuk Nadi Arena.
Kedah dan JDT bakal berentap buat kali kedua di SSI untuk menentukan pasukan mana yang layak ke final. Pemenang bakal berdepan pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor FC di pentas final.