Kedah Darul Aman memulakan saingan Piala FA dengan langkah kanan setelah mudah menundukkan Bukit Tambun FC di Alor Setar pada Jumaat.
Kedah Darul Aman yang ketika ini dalam prestasi yang kurang meyakinkan dalam saingan liga setelah tumpas dalam dua aksi terakhir menerima kunjungan wakil Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun di laman sendiri.
Pengendali Kedah, Nafuzi Zain bagaimanapun tidak mahu mengambil risiko meskipun berdepan lawan dari liga semi pro dan menampilkan barisan kesebelasan terbaik diketuai oleh Sony Norde di jentera serangan pasukan.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi rembatan kaki kiri penyerang import, Milos Gordic yang memanfaatkan kegagalan pertahanan Bukit Tambun mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Enam minit kemudian, Amirul Hisyam meletakkan Sang Kenari selesa di hadapan 2-0 apabila melepaskan satu tendangan dari jarak dekat untuk menewaskan penjaga gol Bukit Tambun, Nasrullah Abdul Aziz.
Hasrat Milos Gordic untuk menambah koleksi jaringan peribadinya tidak kesampaian setelah penjaga garisan membatalkan gol tandukan beliau pada minit ke-27 kerana berada di dalam keadaan ofsaid.
Giliran Ebinezer Assifuah pula mencetak nama sebagai penjaring ketiga Kedah lima minit sebelum tamat separuh masa pertama untuk mengakhiri aksi dengan keputusan 3-0 memihak tuan rumah.
Kembali dari rehat, kelalaian barisan pertahanan Kedah hampir dihukum Bukit Tambun namun gol lambungan Qayyum Jabrullah yang melepas jangkauan Kalamullah Al-Hafiz dibatalkan pengadil kerana ofsaid.
Sang Kenari terus meledak dengan jaringan keempat sekali lagi menerusi Ebenezer Assifuah pada minit ke-68 sebelum penyerang kelahiran Ghana itu melengkapkan hatrik pada minit ke-79 untuk menjadikan kedudukan 5-0.
Malang buat Kedah apabila terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain setelah pemain gantian, Aiman Afif dilayangkan kad merah pada minit ke-73, empat minit setelah pemain muda itu dimasukkan oleh Nafuzi Zain.
Aksi di Stadium Darul Aman tamat, Kedah Darul Aman 5-0 Bukit Tambun.
Kemenangan ini membawa Kedah Darul Aman mara ke pusingan suku akhir dan akan berdepan pemenang di antara Sri Pahang atau Penang pada tarikh dan venue yang akan diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) nanti.