Meskipun ketinggalan 2-1 dari segi kelebihan agregat, Selangor FC masih memiliki kelebihan ke atas lawan mereka, Kuching City untuk aksi suku akhir kedua Piala FA 2024.
Merah Kuning terpaksa akur dengan The Cats apabila tewas 2-1 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Negeri, Kuching pada 29 Jun lalu.
Berdasarkan rekod pertemuan semasa, kelebihan masih memihak kepada Selangor yang merekodkan empat kemenangan dalam lima pertemuan.
Ini termasuk dua kemenangan yang direkodkan Merah Kuning ke atas The Cats dalam kempen Liga Super musim 2023.
Daripada lima perlawanan tersebut, Selangor turut menyumbat 15 gol. Lima daripadanya direkodkan di Stadium MBPJ dalam aksi kumpulan Piala Malaysia 2021.
Selangor meraih kemenangan 5-1 ke atas Kuching City dengan gol disumbang Danial Asri, Hein Htet Aung, Safuwan Baharudin dan Sean Selvaraj. Sementara Michael Ijezie pula menyumbat gol saguhati buat pelawat.
Merah Kuning yang dibimbing Nidzam Jamil dijangka menurunkan barisan terkuat untuk aksi suku akhir kedua.
Selain itu, kelebihan Stadium MBPJ juga bakal dimanfaatkan Selangor. Ini kerana dalam tiga perlawanan Liga Super sebelumnya, pasukan itu merekodkan kehadiran melebihi 10,000 penonton.
Salah satu daripadanya ialah perlawanan Liga Super menentang Perak FC yang berlangsung pada 23 Jun lalu. Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Selangor meraih kemenangan 2-1.
Justeru, kelebihan ini bakal dimanfaatkan Merah Kuning untuk aksi suku akhir kedua pada 6 Julai ini.