Piala FA: Senarai 8 Kelab Terbaik & Jadual Aksi Suku Akhir
MakanBola
MFL

Semak senarai pasukan yang melangkah ke suku akhir Piala FA serta jadual perlawanan timbal balik pertama dan kedua.

Saingan Piala FA 2026-2027 menyaksikan 7 kelab Liga Super mengesahkan tempat ke suku akhir termasuklah juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menepati ramalan selepas menyingkirkan UM-Damansara 14-1 secara agregat.

Selain JDT, 6 lagi kelab dari Liga Super yang turut mara ke suku akhir adalah Penang, DPMM, KL City, Kuching City, Star City dan Selangor yang berjaya menyingkirkan finalis musim lalu, Sabah dengan keputusan agregat 4-3.

Manakala, kejutan berlaku apabila Kelantan City menjadi satu-satunya wakil dari Liga A1 Semi-Pro yang bakal beraksi di suku akhir Piala FA musim ini selepas cemerlang mengecewakan kelab Liga Super, Negeri Sembilan.

Perlawanan suku akhir Piala FA dijadualkan berlangsung pada 19 dan 20 September ini bagi aksi timbal balik pertama, manakala pertemuan kedua bakal diadakan pada 9 Oktober hadapan selepas jendela antarabangsa FIFA.

JDT akan menerima tentangan Penang manakala DPMM dan KL City akan bertemu sesama sendiri untuk menentukan tiket ke peringkat separuh akhir, tatkala Kelantan City akan berdepan ujian berat menghadapi Kuching City nanti.

Selangor yang masih belum tewas dalam 4 perlawanan Liga Super pula bakal menghadapi Star City kendalian Mehmet Durakovic, dengan aksi pertama akan diadakan di Kangar, Perlis pada 19 September hadapan.