Pihak UM-Damansara mengumumkan perubahan venue bagi perlawanan pusingan 16 Piala FA 2026-27 melibatkan kelab tersebut vs Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadual berlangsung pada 1 September ini.
Menurut kenyataan rasmi, perlawanan tersebut yang asalnya dijadualkan di Arena UM ini bakal dipindahkan ke gelanggang JDT, Stadium Sultan Ibrahim atas beberapa faktor.
Perubahan venue ini dibuat selepas arena tersebut bakal diguna pakai untuk kejohanan bola sepak peringkat universiti yang akan berlangsung di Universiti Malaya pada minggu ini.
“Stadium Arena UM ditempah dan diduduki oleh acara dan perlawanan SUKIPT. 2 aksi pertama kami akan dimainkan di tempat lawan. Selepas ini, kami akan kembali ke Stadium UM Arena untuk baki musim ini,” kata UM-Damansara dalam satu kenyataan di laman media sosial milik mereka.
Selain itu, aksi pembukaan Liga A1 antara UM-Damansara vs Selangor II turut akan berlangsung di venue lain iaitu Stadium Selayang pada 29 Ogos.
Situasi tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kesiapsiagaan padang untuk digunakan dalam aksi berprofil tinggi seperti Liga A1 dan Piala FA, sekali gus mendorong keputusan untuk memindahkan aksi UM-Damansara vs JDT ke venue lain.
Langkah ini dilihat sebagai usaha memastikan kualiti perlawanan kekal berada pada tahap terbaik selain mengutamakan faktor keselamatan serta keselesaan pemain kedua-dua pasukan.