Saingan suku akhir pertama Piala FA 2024 menyaksikan Terengganu FC merekodkan kehadiran tertinggi diikuti oleh Malaysian University FT (MUFT).
Saingan kali ini menyaksikan skuad Penyu mencuri tumpuan dengan membelasah Sabah FC 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 28 Jun lalu.
Kejayaan tersebut dibantu dengan kehadiran 15,677 orang di SSMZA. Meskipun angka tersebut tidak sebanyak angka 20,150 orang yang dicapai dalam aksi Piala FA 2024 sebelumnya, kehadiran penyokong yang ramai memberi kelebihan besar kepada Terengganu.
Atas sebab itu, pasukan Pantai Timur itu menzahirkan rasa terima kasih kepada para penyokong kerana memeriahkan SSMZA untuk aksi suku akhir pertama Piala FA 2024.
Ini disusuli pula oleh Malaysian University. Wakil Liga A1 Semi Pro itu menjadikan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai gelanggang tuan rumah untuk aksi menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Meskipun tewas 5-0 kepada pasukan gergasi selatan tanah air itu, Malaysian University merekodkan kehadiran 6,490 orang.
Pertembungan derby utara membabitkan Penang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 28 Jun lalu menyaksikan kehadiran seramai 6,102. Kehadiran penyokong dilihat berkurangan berbanding angka 8,102 yang direkodkan dalam aksi Liga Super membabitkan dua pasukan sama pada 22 Jun lalu.
Perlawanan ini menyaksikan Kedah meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Harimau Kumbang buat kali kedua untuk musim 2024/25.
Sementara perlawanan membabitkan Kuching City FC dan Selangor FC pada 29 Jun lalu merekodkan kehadiran terendah iaitu 3,338 orang.
Angka ini jauh lebih baik berbanding kehadiran 2,658 orang yang direkodkan dalam perlawanan Liga Super antara Kuching City dan Terengganu pada 22 Jun lalu. Perlawanan ini menyaksikan The Cats menundukkan The Red Giants 2-1.
Aksi suku akhir kedua Piala FA 2024 bakal berlangsung pada 5 dan 6 Julai ini. Ini bagi menentukan empat pasukan terbaik yang mara ke separuh akhir.