Piala FA: UM-Damansara Mohon Ubah Venue Ke SSI?
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kelab Liga A1 Semi-Pro, UM Damansara United dilaporkan memohon agar aksi pusingan awal Piala FA berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dimainkan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Undian saingan Piala FA menyaksikan UM Damansara telah diundi bertemu JDT di pusingan 16 dengan kedua-dua kelab akan kembali bertarung setelah 3 musim berturut-turut berentap di pentas yang sama semenjak musim 2024 lalu.

Berdasarkan jadual asal, aksi timbal balik pertama bakal berlangsung pada Selasa, 1 September hadapan di UM Arena sebelum aksi kedua dijalankan di gelanggang keramat JDT, Stadium Sultan Ibrahim selang 7 hari selepas itu.

Sungguhpun begitu, perkembangan terkini daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan bahawa UM Damansara telah membuat permohonan agar venue aksi timbal balik pertama Selasa depan ditukar ke SSI.

“UM Damansara mohon pertukaran venue dari UM Arena ke SSI,” lapor Zulhelmi Zainal Azam di laman X.

Salah satu teori yang menguatkan khabar angin ini adalah berlangsungnya kejohanan Sukan Institut Pengajian Tinggi (SukIPT) di Universiti Malaya, yang berkemungkinan menjadi salah satu faktor perubahan venue diminta oleh pihak UM-Damansara.

Setakat kini, belum ada sebarang pengumuman rasmi dari kedua-dua kelab serta pihak Malaysian Football League (MFL) berkenaan perubahan venue perlawanan ini, sekali gus menjadikan perkara ini masih sekadar spekulasi semasa.