Piala FA: Waktu & Venue Baharu Aksi Kuching City vs Kelantan RW
MakanBola
Kuching City

Pihak Malaysian Football League (MFL) mengumumkan perubahan venue bagi perlawanan kedua pusingan 16 Piala FA 2026-27 melibatkan Kuching City vs Kelantan RW yang dijadual berlangsung pada 8 September ini.

Menurut kenyataan rasmi, perlawanan tersebut yang asalnya dijadualkan berlangsung di Stadium Negeri, Kuching ini bakal dipindahkan ke venue berkecuali, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras atas faktor tertentu.

Perubahan venue ini dibuat selepas kawasan stadium di negara tersebut mengalami jerebu melampau sejak kebelakangan ini.

Menurut MFL, pengelola liga itu telah mengemaskini jadual aksi antara The Cats dan Kelantan RW pada 8 September ini atas isu cuaca semasa.

“Malaysian Football League telah mengemaskini jadual bagi perlawanan-perlawanan Piala FA 2026-2027 yang telah dipinda susulan situasi jerebu dan menerima maklumbalas serta persetujuan bersama daripada kelab-kelab yang terlibat.”

“Sebarang perubahan dan pindaan Kalendar dan Jadual Pertandingan MFL musim 2026-2027 adalah tertakluk kepada keputusan MFL,” kata pengelola liga, MFL dalam satu kenyataan di laman media sosial.

Aksi pertama pusingan 16 antara kedua-dua pasukan tersebut berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan di laman Kelantan RW, Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, pada 1 September lalu.

Perlawanan itu menyaksikan kebangkitan luar biasa Kelantan RW apabila mereka berjaya mengikat naib juara liga musim lalu, meskipun sebelum ini tewas 5-0 kepada The Cats dalam aksi Liga Super Malaysia pada 29 Ogos lalu.

Pasukan yang memenangi perlawanan timbal balik ini bakal berdepan tentangan sengit daripada Kelantan City atau Negeri Sembilan pada aksi suku akhir.