Advertisement
Piala Malaysia : Dollah Belum Mahu Angkat Bendera Putih
Dunia
MakanBola
Arkib Makan Bola

Di sebalik ketinggalan agregat empat gol kepada Terengganu, pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh belum berputus asa dengan peluang pasukannya untuk meneruskan langkahan dalam kempen Piala Malaysia tahun ini.

Sri Pahang diaibkan dengan kekalahan besar 1-5 di laman sendiri pada Khamis dalam aksi pertama pusingan kedua, justeru berdepan misi hampir mustahil untuk menterbalikkan keputusan di Gong Badak pada 1 November nanti.

Apatah lagi, skuad tok gajah perlu menang paling kurang dengan keputusan 4-0 untuk mengikat kedudukan secara agregat dan perlukan jaringan lebih besar untuk menyingkirkan seteru pantai timur itu, justeru mungkin tiada siapa meletakkan keyakinan atau kepercayaan ia boleh dilakukan.

Sepanjang tahun 2022, Sri Pahang pernah hanya sekali menjaringkan empat gol, itupun ketika menewaskan pasukan bermasalah, Sarawak United dengan jaringan 4-1 dalam aksi Liga Super.

“Kita ada masa 90 minit lagi. Dalam bola sepak saya percaya macam-macam boleh berlaku, memang sukar, tetapi kita tidak akan mengalah,

“Saya harap kita boleh lakukan sesuatu khasnya bahagian pertahanan yang tampak terlalu longgar dan pincang dalam perlawanan pertama ini. Seperti saya kata, semuanya serba tidak kena, tak tahu apa punca.

“Kita mungkin akan buat rombakan, buat masa ini situasi Azwan (Aripin) membimbangkan, dia mengalami kecederaan yang nampak agak serius, saya dan barisan kejurulatihan akan putuskan game plan dalam masa yang ada,” kata Dollah Salleh kepada MakanBola.

Sebagai rekod, Dollah pernah membawa Sri Pahang menjulang Piala Malaysia pada tahun 2013 namun sejak kembali membimbing kelab ini pada 2017, pencapaian terbaik adalah mara ke separuh akhir pada 2019.