Piala Malaysia: KL City Tekad Lakar Kemenangan Di Manjung
MakanBola
KL City FC

Juara Piala Malaysia 2021, KL City FC berazam melakar kemenangan ke atas Perak FA dalam aksi pertama pusingan 16 kejohanan itu.

Keyakinan itu dilaungkan pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid apabila ditanya peluang KL City menentang anak buah Syamsul Saad itu.

Safawi melihat semua pemain fokus memastikan KL City pulang membawa bekalan selesa untuk aksi kedua yang akan berlangsung pada 25 Januari.

“Untuk Piala Malaysia, kita akan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Semua pemain fokus, komited dan bersedia untuk kempen kali ini.

“KL City turun dengan satu sasaran iaitu kemenangan,” katanya.

KL City berharap dapat menyelesaikan prestasi tidak menentu yang dihadapi pasukan itu. Ini kerana The City Boys hanya menang sekali dalam enam aksi terakhir mereka.

Selain itu, mereka juga tumbang 1-0 di tangan Penang FC dalam aksi terbaru Liga Super di Cheras baru-baru ini.

Justeru, kemenangan ke atas wakil Liga A1 Semi-Pro itu dilihat tonik terbaik buat KL City untuk bangkit semula. Anak buah Risto Vidakovic akan menentang Perak pada 18 Januari di Manjung.