Piala Malaysia: Langkah Kedah Terhenti, Perak Mara Ke Suku Akhir
Piala Malaysia
Kedah Darul Aman FC
Advertisements

Hasrat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk layak peringkat suku akhir Piala Malaysia akhirnya menemui jalan buntu. Walaupun menang 2-1 namun Kedah tewas 4-3 kepada Perak FC secara agregat dalam aksi dilangsungkan di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kedah yang ketinggalan 1-3 secara agregat memulakan perlawanan dengan corak menyerang selain mengawal sepenuhnya perlawanan. Manakala pemain Perak lebih banyak berkampung di kawasan sendiri untuk mempertahankan gawang dari dibolosi.

Ketika Kedah sedang mengawal perlawanan, Luka Milunovic berjaya menghidu kesilapan pertahanan Kedah pada minit ke-13 dan berjaya membolosi gawang Kedah. Namun jaringan tersebut tidak dikira kerana Milunovic dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid.

Advertisements

Selepas serangan demi serangan yang dilancarkan, akhirnya Kedah menemui jaringan pertama perlawanan selepas Manuel Hidalgo menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-28 perlawanan. Sepakan penalti dihadiahkan selepas bola terkena tangan pemain Perak, Sunday Afolabi.

Jaringan tersebut nyata memberikan suntikan semangat kepada pemain Kedah untuk mencari tambahan gol. Namun peluang yang terhidang tidak dapat disudahkan dengan jaringan gol dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama ditiupkan.

Advertisements

Bersambung di babak kedua, Kedah terus melancarkan gerak serangan ke atas kubu Perak. Kebanyakan serangan Kedah terhasil dari gerakan dua pemain sayap mereka iaitu Manuel Hidalgo dan J Partiban.

Perak menerima tamparan hebat apabila terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas pemain gantian, Khairul Asyraf Ramli dilayangkan kad merah selepas dikesan melakukan kekasaran ke atas Amirbek Juraboev.

Advertisements

Kedah membawa masuk penyerang import, Jonathan Balotelli bagi mendapatkan jaringan tambahan. Manakala Perak yang beraksi dengan sepuluh pemain, terus dipaksa bertahan.

Kedah akhirnya berjaya mendapatkan gol kedua pada minit ke-82 hasil rembatan jarak jauh Akmal Zahir yang membias kepada pertahanan Perak sekali gus menggandakan kedudukan menjadi 2-0.

Advertisements

Kedudukan itu tidak kekal lama apabila selang dua minit, Perak berjaya merapatkan kedudukan hasil tandukan Seo Seonung yang menyambar peluang hasil kesilapan mudah Kalamullah di gawang Kedah. Agregat kembali memihak Perak 4-3.

Kedudukan agregat itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus melayakkan Perak FC ke peringkat suku akhir. Di suku akhir nanti, Perak bakal bertemu di antara Sabah FC ataupun Kuching City FC yang bakal beraksi esok.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram