Pengendali PJ City, P.Maniam menelan hakikat JDT berada di dalam kelas tersendiri selepas pasukannya dibelasah 0-4 oleh juara Liga Super itu dalam pertembungan pusingan kedua Piala Malaysia pada Rabu.
Maniam tanpa berselindung menyatakan terperangkap dengan kebijaksanaan taktikal pengendali JDT, Hector Bidoglio yang memilih menurunkan hanya seorang import iaitu Leandro Velazquez di dalam kesebelasan utama yang merencatkan terus perancangan asalnya.
Bidoglio membuat keputusan merehatkan penjaring terbanyak Bergson da Silva manakala gandingan sensasinya Fernando Forestieri pula berada di bangku simpanan, tatkala dia memberi ruang kepada barisan bintang tempatan untuk menyerlahkan kehebatan mereka.
“Saya tidak terperanjat dengan barisan pemain yang diturunkan JDT kerana mereka ada ramai pemain yang boleh bermain namun (saya akui) ianya sedikit menggangu perancangan kami akibat pertukaran taktikal ini. Ia satu strategi yang memerangkap kami.
“Kami melepaskan gol awal sehingga membuatkan pemain tertekan dan mereka cuba untuk bangkit dan bermain dengan sedikit terbuka tetapi kami dihukum pula dengan gol kedua.
“Kami tetap cuba memberikan saingan namun ianya tidak cukup, kami mempunyai peluang menjaringkan gol tetapi gagal dan mereka pula menyempurnakan kebanyakan peluang yang mereka perolehi.
“Pastinya kami mahu menang untuk mendiang P.Rajes tetapi kami tewas 0-4 dan mungkin ada pemain yang masih bersedih tetapi ini bukanlah alasan kekalahan ini dan kami perlu kembali fokus selepas ini.
“Kami juga ingin ucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang hadir ke stadium menyokong Rajes dan keluarganya pada perlawanan ini kerana semua kutipan tiket akan diberikan kepada mereka,” ujar Maniam selepas perlawanan.
Pada perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu, JDT mendahului seawal minit keempat menerusi Shahrul Saad dan menggandakan kelebihan lima minit sebelum tamat separuh masa pertama menerusi Safawi Rasid.
Mereka menambah dua jaringan di separuh masa kedua, masing-masing menerusi pemain gantian iaitu Akhyar Rashid (m-70) dan Fernando Forestieri (m-79).
Aksi timbal balik akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 31 Oktober ini dan jelas sekali, Maniam tidak meletakkan sebarang harapan untuk pasukannya mencipta kejutan dan menterbalikkan keputusan bagi meneruskan kemaraan dalam Piala Malaysia edisi kali ini.