Advertisement
Piala Malaysia: Negeri Sembilan Bergelut Kalahkan Kelantan United
Piala Malaysia
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Jaringan tunggal Sean Selvaraj sudah cukup memastikan Negeri Sembilan FC meraih kemenangan ke atas Kelantan United FC dalam aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia 2023.

Dengan status sebagai pasukan pelawat, Hoben Jang Hoben yang dibimbing K. Devan tahu kelebihan gol perlu diraih sekiranya mahu memanfaatkan kelebihan di gelanggang sendiri untuk aksi kedua.

Sebaik sepak mula, Negeri Sembilan FC berusaha mencari kelebihan awal. Gol yang dicari terhasil apabila Selvaraj meletakkan pelawat di hadapan pada minit ke-28.

Tersentak, anak-anak buah Ailton Silva berusaha mencari gol penyamaan tetapi kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Kelantan United FC membuat beberapa pertukaran bagi menambah sengat di bahagian serangan.

Bagaimanapun, pertahanan skuad Rusa diketuai penjaga gol Sikh Izhan Nazrel memastikan kemenangan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Walaupun tewas, Kijang Hijau masih ada peluang mara ke suku akhir dengan syarat mereka menewaskan Negeri Sembilan FC pada 20 Ogos di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dengan Kelantan United FC pernah membolosi gawang mereka di Paroi sebanyak tiga kali pada 23 Mei lalu, ini sesuatu yang perlu dipandang serius Devan jika mahu Negeri Sembilan FC layak ke suku akhir.

Kedua-dua pasukan bakal kembali mengharungi Liga Super dengan Hoben Jang Hoben bakal berdepan Kelantan FC pada 9 Ogos ini. Sementara Kelantan United FC pula menentang Terengganu FC pada 8 Ogos.