PDRM berjaya mengejutkan Negeri Sembilan apabila bangkit saat akhir untuk memenangi aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman.
Skuad kendalian K. Nanthakumar turun dengan semangat baru setelah tewas kepada JDT dalam saingan Liga Super sebelum ini.
Annas Rahmat, A. Selvan, Takumi Sasaki, Aroon Kumar, Jacque Faye antara barisan pemain yang meraih kepercayaan jurulatih dalam kesebelasan utama pasukan.
PDRM pula meletakkan Bryan See selaku penjaga gawang diikuti barisan pemain seperti Amir Saiful, Fadi Awad, Aremu Timothy, Shahrel Fikri, Bruno Suzuki dan Ifedayo bagi aksi menentang Negeri Sembilan.
Babak pertama dihiasi dengan beberapa siri percubaan oleh kedua-dua belah pasukan namun tiada jaringan yang terhasil hingga tamat babak pertama perlawanan.
Negeri Sembilan terpaksa menunggu hingga minit ke-69 untuk meraih jaringan menerusi gerakan solo A. Selvan yang berjaya menewaskan Bryan See.
PDRM cuba untuk bangkit mencari gol penyamaan menerusi beberapa percubaan tetapi gagal membolosi pintu gol Negeri Sembilan.
Hadi Fayyad muncul penyelamat PDRM apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan pada masa tambahan untuk mengikat Negeri Sembilan.
PDRM sekali lagi mencipta kejutan apabila meraih gol kedua pada saat akhir hasil jaringan Ifedayo Olosegun.
Perlawanan tamat dengan kemenangan berpihak kepada PDRM dengan jaringan 2-1 ke atas Negeri Sembilan.
Aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia seterusnya akan berlangsung di Stadium MP Selayang dengan PDRM bakal menjadi tuan rumah dan giliran Negeri Sembilan menjadi pelawat pada 29 November kelak.