Advertisements
Piala Malaysia : Rezal Zambery Anggap Layak Ke Suku Akhir Sudah Cukup Bagus
Piala Malaysia
MakanBola
Kelantan FC

Jurulatih Kelantan, Rezal Zambery Yahya tidak mahu memasang impian tinggi melangit dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Kelantan yang juga juara dua kali pertandingan tertua rantau Asia itu akan membuka kempen dengan menentang Sarawak United di pusingan kedua pada 26 dan 31 Oktober depan.

Bagi Rezal Zambery, sasarannya adalah membawa Kelantan menempatkan diri dalam kalangan lapan terbaik dan melihat ia sebagai sasaran yang realistik mengambil kira status mereka sebagai pasukan dari Liga Premier.

“Walaupun Sarawak menduduki tangga ke-11 Liga Super (kedua tercorot), itu bukan bermakna mereka pasukan yang lemah. Mereka datang dari Liga Super, sudah tentu tahap permainan mereka sangat berbeza dengan tahap Liga Premier, jadi kita kena perlu bersedia dalam banyak aspek.

“Memandangkan format kali ini juga berbeza, iaitu terus bermain di pusingan kalah mati secara timbal balik, saya rasa kalau kami boleh mara sehingga ke peringkat suku akhir sudah sesuatu yang sangat baik.

“Kami akan cuba memberi tentangan yang sengit untuk cuba mara lebih jauh kalau boleh, namun lebih penting kita mahu mengambil manfaat daripada aksi Piala Malaysia dan mengenal pasti tahap kemampuan pemain memandangkan kami akan beraksi di Liga Super selepas ini,” ujar Rezal Zambery.

Selepas kali terakhir bergelar juara Piala Malaysia pada 2012, Kelantan hanya sekali mara ke final pada tahun 2013 yang mana mereka tewas kepada Pahang.

Selepas itu mereka tidak pernah melepasi peringkat suku akhir walaupun sekali, malah lebih malang pada musim 2019 tidak layak ke Piala Malaysia.

Jika Kelantan berjaya untuk melepasi halangan Sarawak United pada pusingan kedua nanti, lawan yang dijangka menanti mereka di suku akhir adalah juara Liga Super sembilan kali yang juga finalis musim lalu, JDT.