Piala Malaysia: Rezal Zambery Enggan Dabik Dada, Minta Pemain Tidak Terbuai
Piala Malaysia
TRW Kelantan FC
Advertisements

Di sebalik gembira dengan kemenangan 1-0 dilakar ke atas Sarawak United dalam aksi pusingan kedua Piala Malaysia, jurulatih Kelantan, Rezal Zambery Yahya tidak mahu mendabik dada dan segera mengalihkan tumpuannya kepada perlawanan timbal balik pada 31 Oktober nanti.

Pada perlawanan berlangsung di Stadium Negeri, Kuching, Kelantan yang menurunkan sepenuhnya pemain tempatan di dalam kesebelasan utama mencipta kejutan ke atas Sarawak United yang dibarisi empat pemain import menerusi jaringan tunggal pemain gantian, Kenta Hara pada minit ke-82.

Malah, Kenta Hara juga merupakan satu-satunya pemain import skuad The Red Warriors di dalam perlawanan tersebut.

Advertisements

Bagi Rezal Zambery, dia sedar kelebihan tipis satu gol itu belum meletakkan skuad naib juara Liga Premier itu dalam keadaan selamat dan mahu pemainnya tampil lebih garang di Kota Bharu nanti untuk meneruskan langkahan ke suku akhir.

“Masih ada 90 minit lagi, jadi belum boleh kata kita sudah sebelah kaki atau mempunyai peluang tinggi. Bagi saya peluang tetap sama, kita tahu Sarawak pasukan yang kuat, bermain di Liga Super dan bukan pasukan yang mudah menyerah kalah.

“Apa yang penting adalah pemain saya jangan terbawa-bawa, tidak terbuai dengan kemenangan ini, kekalkan momentum dan konsistensi di Kota Bharu, tidak leka dan elakkan kesilapan,” ujarnya selepas perlawanan.

Advertisements

Sebagai rekod, Kelantan pernah muncul juara Piala Malaysia sebanyak dua kali pada 2010 dan 2012. Pencapaian terbaik mereka selepas itu adalah mara ke final pada 2013 dan sejak itu tidak pernah melepasi peringkat suku akhir.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram