Piala Malaysia: Selangor FC Terkulai Dihukum KL City FC
Piala Malaysia
Selangor FC
Advertisements

Pertembungan Derby Lembah Klang dalam saingan Piala Malaysia 2021 hari ini menyaksikan skuad Merah Kuning melayan kunjungan KL City FC. Perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya itu berakhir dengan kemenangan kepada KL City FC.

Serangan awal bermula pada minit ketiga permainan, ketika Selangor FC mendapat peluang pertama melalui sepakan percuma apabila Kenny Palrajj dipersalahkan. Namun rembatan pemain tengah Selangor, Oliver Buff terkena benteng pertahanan pasukan pelawat.

Kedudukan mendebarkan pada minit kesembilan permainan apabila Romel Morales dengan tenang menyumbat gol ke gawang Selangor. Namun jaringan itu dibatalkan pengadil kerana kekasaran yang dilakukan pemain KL City FC.

Advertisements

Pada minit ke-14 permainan, sentuhan penyudah yang baik menatijahkan gol pembukaan untuk aksi malam ini. Hantaran cantik Zhafri Yahya mudah ditanduk masuk Romel Morales. Penyerang KL City itu sekaligus berjaya melengkapkan jaringan kesembilannya dalam kempen Piala Malaysia 2021.

Serangan demi serangan terus dicetuskan pasukan tuan rumah. Percubaan berani Syahmi Safari dari luar kotak penalti pada minit ke-23 permainan mengejutkan lawan. Malangnya rembatan kencang Syahmi itu sedikit tersasar.

Shahrel Fikri pada minit akhir sebelum babak pertama tamat sempat melepaskan satu percubaan namun percubaan Shahrel itu sekadar melawati palang gol. Separuh masa pertama tamat, Selangor FC 0-1 KL City FC.

Advertisements

Separuh masa kedua bermula dengan percaturan pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel yang memasukkan Alif Haiqal sebagai fresh leg bagi menggantikan Ahmad Danial Asri.

Kemasukan pemain muda yang berusia 21 tahun itu membuka peluang buat Shahrel Fikri melepaskan rembatan. Pada minit ke-61 permainan, Shahrel berjaya mengawal bola di kaki dengan baik sebelum merembat tepat ke gawang KL City. Percubaan itu mudah ditangkap kemas, Kevin Ray Mendoza.

Strategi 4-4-2 Bojan Hodak dalam perlawanan hari ini beberapa kali meletakkan pertahanan Merah Kuning dalam keadaan tertekan. Pada minit ke-70 permainan, Paulo Josue pula melepaskan satu rembatan cantik menerusi sepakan percuma. Namun percubaan kapten KL City itu sedikit sahaja tersasar.

Advertisements

Pemain yang baru dimasukkan, Hadin Azman dengan tenang menghukum Selangor FC apabila rembatan beliau meluru masuk menewaskan penjaga gol Selangor FC, Khairul Azhan Khalid. Jaringan Hadin itu sekaligus meletakkan KL City FC selesa mendahului 2-0 dihadapan.

3 minit masa kecederaan yang diberikan pengadil tidak dapat mengubah keputusan perlawanan. Perlawanan tamat, Selangor FC 0-2 KL City FC

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram