Piala Malaysia: Sri Pahang Nyaris Dimalukan Harini
Piala Malaysia
Sri Pahang FC
Advertisements

Pasukan gergasi Pantai Timur, Sri Pahang FC nyaris dimalukan pasukan Liga M3, Harini FT sebelum meraih kemenangan tipis 3-2 dalam aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia hari ini.

Turun sebagai pasukan pilihan, skuad Tok Gajah melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Harini FT sebaik sepak mula. Bagaimanapun, mereka perlu menunggu sehingga minit ke-20 untuk membuka jaringan menerusi David Rowley.

Sri Pahang FC yang dibimbing Fandi Ahmad cuba mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Bersambung pada babak kedua, Fandi memasukkan kapten Sergio Aguero bagi menambah kreativiti di bahagian serangan. Percaturan jurulatih Singapura itu berhasil apabila Syazwan Andik menjaringkan gol kedua pada minit ke-53.

Begitupun, jurang kelebihan yang dinikmati Tok Gajah mula berkurangan apabila Muhammad Fikri Mohamed Shah merapatkan jurang untuk Harini pada minit ke-59. Kesilapan Nick Swirad menghantar bola segera dipintas Fikri sebelum menewaskan penjaga gol Zarif Irfan Shamsuddin.

Bekas penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha atau Matyo melengkapkan kebangkitan Harini dengan satu rembatan kencang menewaskan Zarif Irfan pada minit ke-74.

Advertisements

Bagaimanapun, hasrat Harini mengikat Sri Pahang FC musnah apabila pemain gantian Baqiuddin Shamsuddin menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.

Kelebihan satu gol ini sudah cukup buat anak-anak buah Fandi apabila kedua-dua pasukan kembali bertemu pada aksi kedua di Stadium Darul Makmur pada 20 Ogos.

Selepas ini, Sri Pahang FC bakal berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 8 Ogos ini untuk aksi Liga Super. Manakala Harini FT pula berdepan cabaran Persada Integriti Bersatu FC dalam aksi Liga M3 pada hari yang sama.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram