Terengganu melayakkan diri ke pentas suku akhir saingan Piala Malaysia musim 2025/26 selepas menundukkan pasukan UM-Damansara dengan keputusan secara agregat 7-0 dalam aksi pusingan 16.
Sang Penyu membariskan Rahadiazli di benteng terakhir dengan Shahrul Nizam menggalas lilitan kapten manakala Careca sebagai ayam tambatan bagi aksi ini.
Sementara itu, UM-Damansara menurunkan Haziq Mukriz di posisi penjaga gol dengan Thankgod Michael mengemudi jentera serangan pasukan tersebut.
Sejak awal separuh masa pertama, kedua-dua pasukan tampil garang dengan melancarkan beberapa serangan balas yang berbahaya.
Terengganu tampak terus menerus mengasak kubu pasukan UM-Damansara dalam tempoh yang lama bagi menceriakan ribuan penyokong sendiri.
Engku Shakir meledak gol pertama aksi dengan jaringan yang cantik sekali gus memberikan kelegaan kepada kem pasukan beliau pada minit ke-33.
Beliau sekali lagi merobek pasukan UM-Damansara bagi menjarakkan defisit jaringan agregat sebanyak 4 gol.
Careca melengkapkan aksi separuh masa pertama dengan meledak gol ketiga perlawanan pada masa kecederaan.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 3-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Terengganu.
Bersambung babak kedua, Terengganu terus meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol tambahan aksi ini.
Engku Shakir meledak gol hatrik pada minit ke-62 selepas melepaskan satu ‘roket’ kencang dari luar kawasan kotak penalti, sekali gus mematikan peluang pasukan UM-Damansara.
Sang Penyu dilihat menguasai penuh perlawanan separuh masa kedua dengan melakukan lambakan percubaan berbahaya menerusi Akhyar Rashid dan Engku Shakir.
Memasuki minit ke-75 kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah, Terengganu dengan 6 gol secara agregat.
Akhyar Rashid hampir memberikan gol kelima bagi aksi ini pada minit ke-83 namun rembatan beliau sedikit tersasar dari gawang pasukan UM-Damansara.
Careca meledak gol kelima perlawanan pada minit ke-87 dari luar kawasan kotak penalti pasukan UM-Damansara.
Aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tamat dengan keputusan secara agregat 7-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Terengganu.
Selepas ini, Terengganu dijadualkan akan bertemu pemenang di antara pasukan Perak FA dan KL City yang akan bertembung dalam aksi kedua pusingan 16 pada Ahad ini.