Padang lecak bukan halangan buat Terengganu FC mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia 2024/25.
Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan Melaka FC dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Terengganu mahu mempertahankan kelebihan agregat 4-1 yang diraih di Stadium Hang Jebat pada 23 November lalu. Manakala Melaka perlu menjaringkan empat gol tanpa balas jika ingin mara ke suku akhir.
Penjaring terbanyak Melaka, Abdul Azim Rahim terus menjadi sandaran gol K. Devan. Manakala Nelson Bonilla menjadi pilihan Badrul Afzan Razali untuk merobek gawang pelawat.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal di SSMZA.
Jentera serangan Terengganu terdiri daripada Bonilla, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Engku Shakir Engku Yacob kerap mengancam pertahanan Melaka diketuai Haziq Puad tetapi tidak berhasil.
Melaka bernasib baik tidak beraksi dengan 10 pemain selepas Haziq dikesan menjatuhkan Engku Shakir semasa berlari ke arah gol.
Selepas menyemak insiden tersebut di monitor VAR, pengadil Amirul Izwan Yaacob tidak melayangkan kad kepada bekas pemain pertahanan Perak FC itu.
Terengganu hampir membuka tirai jaringan menerusi Safawi pada minit ke-34. Malangnya, rembatan pemain sayap kebangsaan itu terkena tiang dengan cubaan susulan Safwan Mazlan berjaya disekat pertahanan Melaka.
Hujan lebat dan angin kuat terus mewarnai usaha kedua-dua pasukan memburu gol. Walau bagaimanapun, keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Faktor hujan dan angin kuat menyebabkan Amirul Izwan meninjau keadaan padang SSMZA terlebih dahulu sebelum meneruskan separuh masa kedua.
Bersambung selepas rehat, Badrul Afzan membuat satu pertukaran pemain dengan memasukkan Ismaheel Akinade menggantikan Akhyar.
Safawi hampir meletakkan Peteh di hadapan pada minit ke-48 tetapi rembatannya pantas ditepis penjaga gol Melaka, Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi.
Badrul kemudiannya memasukkan Nor Hakim Hassan dan Syahmi Zamri menggantikan Bonilla dan Safawi. Kemasukan dua pemain itu menyuntik tenaga baru kepada jentera serangan Terengganu.
Meskipun begitu, gol yang dicari skuad Peteh tidak kunjung tiba. Situasi ini memastikan kedua-dua pasukan terikat sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Terengganu mara ke suku akhir dengan kemenangan agregat 4-1. Melaka yang juga pendahulu Liga A1 Semi-Pro akan meneruskan cabaran dalam saingan MFL Challenge Cup.
Peteh bakal berdepan cabaran Negeri Sembilan FC di peringkat suku akhir. Skuad Rusa mara selepas meraih kemenangan agregat 4-2 ke atas PDRM FC dalam satu lagi aksi pusingan 16 terbaik.
Selepas ini, Terengganu akan berdepan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 4 Disember. Melaka pula bersiap sedia melayan kunjungan UiTM United pada 3 Disember.