Advertisements
Piala Merlion 2023: Malaysia Cemas Sebelum Kalahkan Kemboja
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Selepas skuad senior Malaysia melakar kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan, giliran skuad bawah 22 tahun (B-22) pula melakukan perkara sama. Mereka melakar kemenangan 4-2 ke atas skuad B-22 Kemboja dalam kejohanan Piala Merlion di Singapura hari ini.

Sebaik sepak mula, anak-anak buah E. Elavarasan tampil garang di separuh masa pertama. Hasilnya, Harimau Malaya membuka tirai jaringan menerusi penyerang KL City, Haqimi Azim pada minit ke-13.

Tersentak, anak-anak buah Ryu Hirose cuba bangkit. Tetapi malangnya, mereka dibolosi lagi pada minit ke-30 menerusi bek kiri Selangor, V. Ruventhiran.

Tetapi belum sempat Harimau Malaya meraikan kelebihan mereka, Lim Pisoth merapatkan jurang pada minit ke-36. Kesilapan penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim mengawal bola segera direbut penyerang Phnom Penh Crown itu sebelum menembusi gawang Malaysia.

Dengan kedudukan 2-1 semasa rehat, Kemboja memburu gol penyamaan pada babak kedua. Pada minit ke-50, Sieng Chanthea pula mencatat nama sebagai penjaring menerusi rembatan kaki kiri yang menerjah jaring Rahadiazli.

Tersentak, Elavarasan membuat beberapa pertukaran pemain termasuk memasukkan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Fergus Tierney. Tierney terus mencipta impak segera dengan menyumbat gol ketiga pada minit 62.

Kemboja cuba bangkit untuk memburu gol penyamaan buat kali ketiga. Tetapi rakan sepasukan Tierney di JDT II, Najmuddin Akmal memastikan kemenangan skuad B-22 negara dengan gol keempat pada minit ke-73.

Kemenangan ini melayakkan Malaysia ke pentas final Piala Merlion 2023 yang bakal diadakan pada 26 Mac ini. Harimau Malaya bakal menanti pemenang antara skuad B-22 Singapura dan B-22 Hong Kong yang beraksi malam ini sebagai lawan mereka di final.