Terengganu II dan KL City Extension terpaksa akur terikat seri dalam aksi Piala MFL yang penuh sengit pada Isnin.
Setelah tewas di tangan Selangor minggu lalu, Terengganu kini dijadualkan berdepan satu lagi pasukan Lembah Klang, KL City di Cheras bagi perlawanan minggu ke-21 Piala MFL.
Sentuhan penyudah Nnabuike Chijioke dan Muslihuddin Atiq pastinya menjadi taruhan Terengganu manakala penjaga gol import, Lawton Green diberi kepercayaan mengawal gawang KL City.
Seawal minit ke-4, Afiq Hilman berjaya meletakkan KL City di hadapan menerusi tendangan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil perlawanan untuk menembusi gawang Terengganu
Kelebihan awal tersebut bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Muslihuddin ‘Atiq meledak gol pertama Terengganu untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-20 permainan.
Pada minit ke-24, KL City sekali lagi dihadiahkan tendangan penalti dan tugas penting itu disudahkan dengan cukup baik oleh Afiq Hilman dan tuan rumah mendahului buat kali kedua.
3 minit kemudian, sepakan percuma Chukwu Chijioke berjaya menewaskan Lawton Green di pintu gol KL City sebelum Aqil Idham mencetak gol ke-3 untuk Terengganu memimpin aksi.
Sebelum memasuki bilik persalinan, KL City bangkit dengan dua jaringan di masa tambahan menerusi Suhaimi Abu yang bijak memanfaatkan kealpaan mudah benteng Terengganu.
Separuh masa pertama tamat, KL City Extension 4-3 Terengganu II.
Bersambung babak kedua, Terengganu tak menunggu lama untuk kembali mengikat kedudukan apabila sepakan penjuru Muslihuddin ditanduk kemas oleh Aqil Idham pada minit ke-47.
Malang buat Aqil Idham apabila dilayangkan kad kuning yang kedua apabila menghalang sepakan Lawton Green sekaligus memaksa Terengganu bermain dengan 10 pemain sehingga akhir.
Perlawanan di Stadium Bola Sepak Cheras berakhir dengan keputusan seri 4-4.