Advertising
Piala MFL: Hujan Lebat Tak Halang Selangor Tewaskan Terengganu
MakanBola
Terengganu FC II

Perlawanan tumpuan Piala MFL pada Rabu menyaksikan Selangor berjaya menewaskan Terengganu di Shah Alam.

Setelah terikat seri 1-1 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) II minggu lalu, Selangor kembali ke Shah Alam bagi melayani kunjungan Terengganu yang ketika ini berada di tangga ke-3.

Bintang muda Harimau Malaya, Haykal Danish terus menjadi sandaran utama pasukan Selangor sambil Terengganu pula mempertaruh gandingan Nnabuike Chijioke dan Aqil Idham.

Ad

Tiada jaringan dapat dihasilkan di sepanjang babak pertama permainan dengan pasukan tuan rumah tampak lebih gemar melakukan asakan dan serangan ke kubu Terengganu.

Walaupun begitu, Terengganu yang dikendalikan oleh Haris Safwan kekal tenang mengawal aksi dan miliki peluang bagi melancarkan gerakan memasuki kawasan bahaya Selangor.

Ad
Ad

Separuh masa pertama tamat, Selangor 0-0 Terengganu.

Ad

Kembali dari bilik persalinan, jaringan yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-53 permainan menerusi pertahanan, Aiman Hakimi sekaligus menceriakan kem tuan rumah.

Hujan lebat yang melanda Stadium UiTM, Shah Alam telah memaksa perlawanan ditangguhkan seketika oleh pengadil, Sayed Ahmad Al-Quraisy di pertengahan babak kedua.

Sekembali dari itu, pelawat berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-74 hasil gol daripada pemain import, Nnabuike Chijioke yang mengatasi Ahmad Azeem di gawang Selangor.

8 minit sebelum aksi tamat, pemain gantian, Rohisham Haiqal muncul wira Selangor dengan jaringan kemenangan setelah percubaan jarak dekat berjaya menembusi pintu gol pelawat.

Aksi di Stadium UiTM, Shah Alam berakhir dengan keputusan 2-1 memihak Selangor.

Selepas ini, Selangor sekali lagi akan beraksi di laman sendiri berdepan Sri Pahang pada 21 Januari sementara Terengganu pula akan menentang KL City Extension pada 4 Februari ini.