Aksi tumpuan Piala MFL pada Selasa menyaksikan Kedah Darul Aman B tumpas di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) II
Setelah menang besar ke atas Perak minggu lalu, JDT kini dijadualkan menentang satu lagi kelab utara, Kedah Darul Aman yang ketika ini hanya kalah sekali dalam 6 aksi terakhir.
Kesebelasan utama Kedah diketuai oleh tonggak pertahanan, Aiman Farhan sementara pemain berpengalaman iaitu Shane Lowry ditugaskan memakai lilitan kapten untuk pasukan JDT.
Perlawanan berlangsung sengit antara kedua-dua pasukan dengan Kedah berjaya mengimbangi kekuatan JDT apabila statistik menunjukkan tuan rumah melakukan 4 percubaan tepat.
Walaupun begitu, ketika permainan menuju masa rehat, JDT terlebih dahulu berada di hadapan apabila penyerang muda, Danish Syamer berjaya menembusi pintu gol Kedah di minit ke-42.
Separuh masa pertama tamat, Kedah Darul Aman B 0-1 JDT II.
Bersambung aksi di babak kedua, tuan rumah mula mengatur rencana bagi mengasak kubu lawan dengan serangan bertali arus namun aksi kebal pertahanan JDT menafikan hasrat itu.
Asakan berterusan oleh Kedah itu gagal membuahkan hasil dengan pasukan Harimau Selatan itu tenang mempertahan kelebihan dan nyaris menambah jaringan di penghujung aksi.
Aksi di Stadium Jitra berakhir dengan keputusan 1-0 memihak JDT II.
Selepas ini, Kedah bakal bertandang ke Temerloh untuk aksi berdepan Sri Pahang pada 3 Februari ini manakala JDT pula akan menentang KL City di Pasir Gudang sehari kemudian.