Johor Darul Ta’zim (JDT) II terus memperkukuh cengkaman sebagai pendahulu Piala MFL dengan membelasah Perak FC II 4-0.
Selepas diikat 1-1 dengan Selangor FC pada 6 Januari lalu, JDT II perlu menang ke atas Perak II jika ingin menjarakkan mata.
Perak II pula memburu satu lagi kemenangan selepas mengalahkan Sri Pahang FC 3-1 baru-baru ini.
JDT II mendapat suntikan dua tonggak import iaitu kapten Shane Lowry dan pemain pertahanan Brazil, Murilo Henrique.
Separuh masa pertama menyaksikan Perak II berussha memberi tekanan ke atas JDT II selaku tuan rumah di Manjung.
Skuad muda Harimau Selatan membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Henrique.
Tersentak, Perak II berusaha mencari gol penyamaan menerusi Alif Zikri Zaini Anuar dan Syahmi Shamsudin tetapi tidak berhasil.
Kelebihan 1-0 yang dimiliki JDT II terus dipertahankan sehingga rehat separuh semasa.
Bersambung selepas rehat, Perak II membuat dua pertukaran pemain dengan memasukkan Syakirin Zamri dan Daniel Zamil.
Pertukaran yang direncana jurulatih Perak II, Chan Wing Hoong gagal mengubah momentum yang diperlukan tuan rumah.
Sebaliknya, penjaring terbanyak Piala MFL, Gabriel Nistelrooy menambah derita Perak II menerusi gol pada minit ke-59.
Empat minit selepas itu, giliran Aiman Danish Abdul Azim mencetak nama sebagai penjaring. 10 minit kemudian, Danish Syamer Tajuddin memastikan JDT II memiliki kelebihan empat gol di Manjung.
Skuad muda Harimau Selatan terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan JDT II memiliki 41 mata, empat mata di hadapan Selangor. Perak II pula kekal di tangga kelima dengan 27 mata.
Selepas ini, JDT II bakal berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) B pada 21 Januari. Perak II pula bersiap sedia menentang PDRM FC pada hari yang sama.