Ramai menjangkakan skuad muda PDRM FC pasukan yang liat disebabkan taktik ‘roadblock’ mereka. Tetapi Johor Darul Ta’zim (JDT) FC II berupaya merobohkan taktik berkenaan dengan melakar kemenangan 3-0 ke atas pelawat di Stadium Pasir Gudang.
Biarpun The Cops dibarisi dua pemain import iaitu Jacque Faye dan Nnabuike Chijioke Chukwu, Harimau Selatan II langsung tidak gentar. Malah, mereka terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Darryl Sham pada minit ketujuh.
Tersentak, Sang Saka Biru cuba bangkit memburu gol penyamaan. Malangnya, gawang PDRM FC yang dikawal Nor Hakeem Hamidun bolos lagi pada minit ke-11 menerusi Darryl Sham.
Semangat juang anak-anak buah Anuar Udin terus dirobek apabila Gabriel Nistelrooy menanduk hantaran Ramadhan Saifullah pada minit ke-45. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.
The Cops menggandakan asakan pada separuh masa kedua bagi merapatkan jurang. Dan tugas mereka turut dibantu apabila JDT FC II dipaksa bermain dengan 10 pemain selepas pengadil melayangkan kad merah kepada Darryl Sham.
Di sebalik asakan yang dikenakan, tuan rumah mempertahankan kemenangan 3-0 mereka sehingga wisel penamat. Keputusan ini menyaksikan PDRM FC dan JDT FC II kekal masing-masing di kedudukan ketiga dan keempat Kumpulan A Piala MFL 2023.